Cuba bayangkan anda memasuki sebuah kedai runcit dan mendapati ada pelbagai makanan lazat yang boleh dimakan di dalam kedai tersebut. Malah, kerusi dan meja turut disediakan untuk anda duduk dan membaca surat khabar pada hari tersebut.
Konsep makan di tempat membeli barangan runcit ini bukanlah baru. Pasaraya mewah seperti Jaya Grocer dan Ben’s Independent Grocer sudah melakukannya. Pelanggan bukan sahaja boleh membeli-belah, tetapi juga memesan makanan dan menikmatinya di sana. Pasaraya-pasaraya ini menggabungkan pengalaman restoran dengan pembelian barangan runcit untuk menjadi apa yang mereka kenali sebagai ‘grocerant’.
Trend yang enak dan mudah
Kedai-kedai serbaneka juga telah mengikuti trend ini. Anda mungkin sedar kedai 7-Eleven menawarkan tempat untuk pelanggan duduk sambil menikmati makanan. Mereka juga menyediakan kaunter layan diri yang menawarkan snek panas, mi cawan dan minuman. Kedai serbaneka baharu dari Jepun, Family Mart, membawa trend ini ke tahap yang lebih tinggi. Ia menawarkan pengalaman kafe di mana pelanggan boleh menikmati pelbagai rangkaian makanan yang sedia dimakan. Terdapat juga satu sudut yang menawarkan hidangan segera seperti makanan panas, hidangan kegemaran pantas (on-the-go) dari Jepun, malah juga kopi yang dibru. Kesemua hidangan ini ditawarkan pada harga yang berpatutan dan ternyata sangat popular di kalangan pengguna.
Mengapakah mereka melakukannya?
Perubahan ini dibuat kerana gaya hidup dan jangkaan pengguna telah berubah sejak 10 tahun lalu. Mereka semakin sibuk, perlu menguruskan keluarga, dan lebih banyak bergerak serta berinteraksi dalam talian. Kedai-kedai ini memanfaatkan perubahan tabiat ini dan menawarkan pengalaman semua-dalam-satu untuk menarik pengguna ke kedai mereka.
Sedarkah anda bahawa banyak kedai buku sekarang mempunyai kafe di dalamnya? Pengguna boleh berehat dan menikmati kek dan kopi selepas membeli buku-buku terkini. Sebabnya mudah sahaja: kedai buku kehilangan perkongsian pasaran kerana pembelian dalam talian. Mereka telah bertukar kepada format ini untuk menawarkan pelanggan – terutamanya generasi millennial – satu pengalaman yang tidak boleh didapati dalam talian.
Apakah yang boleh anda lakukan?
Kami bukanlah mencadangkan anda untuk segera membuka kafe di dalam kedai. Banyak perancangan yang perlu dilakukan terlebih dahulu. Pertama sekali, lihat di sekeliling anda. Adakah sudah banyak kedai kopi dan warung di tempat anda? Jika ada, anda mungkin tidak perlu bersaing dengan mereka dan lebih baik anda tidak menggunakan idea ini.
1. Mulakan dari kecil
Uji pasaran dengan menawarkan kuih-muih dan pastri ringkas, nasi lemak atau sandwich. Selepas ada permintaan yang baik, anda boleh menawarkan minuman dan makanan lain.
2. Sediakan kaunter layan diri
Letakkan termos air panas dan susunkan mi cawan atau kopi 3-dalam-1 berhampirannya.
Seperti di kebanyakan kedai serbaneka dan stesen minyak, anda juga boleh menyediakan ketuhar gelombang mikro supaya pelanggan boleh memanaskan makanan yang sedia dimakan.
3. Letakkan beberapa perabot
Anda boleh meletakkan sebuah meja kecil dan beberapa buah kerusi supaya pelanggan boleh duduk. Memasang kaunter bar ringkas pada dinding (dengan kerusi tinggi atau tanpa kerusi) sudah cukup baik untuk kebanyakan pengguna yang sibuk! Selepas mengetahui apa yang sesuai untuk kedai anda, tambahkan penawaran, buat pengubahsuaian, dan teruskan usaha anda.
Para peruncit mencuba pelbagai kaedah baru untuk menjadikan pengalaman membeli-belah lebih relevan untuk pelanggan mereka. Konsep makan dalam kedai mungkin bukan baru tetapi ia semakin berkembang dalam kalangan peruncit. Pasti kita tidak terkejut jika ternampak beberapa ‘Kafe Runcit’ suatu hari nanti.