Wira

Dari Segamat ke seluruh Malaysia melalui kedai dalam talian

KS Family Mart ialah sebuah kedai runcit di Segamat yang mengkhususkan dalam penjualan snek dari Korea, Jepun dan Thailand dalam talian. Kedai dalam talian ini diuruskan oleh dua beradik iaitu Kalvin Soo (KS) dan Soo Hwee San (SHS) yang masing-masing berusia 22 dan 20 tahun. Kami bertemu dengan pasangan muda yang dinamik ini untuk mengetahui kisah mereka dengan lebih lanjut.

Sokongan keluarga sangat penting. Dari kiri ke kanan, Puan Soo dan Encik Soo,
Kalvin Soo dan Soo Hwee San.

RMM: Bila dan bagaimanakah perniagaan KS Family Mart bermula?
KS: Pada awalnya, saya bekerja dengan ibu bapa. Selepas itu, saya ingin membawakan sesuatu yang unik ke Segamat. Oleh itu, saya telah membuka kedai ini pada tahun 2015 dengan bantuan ibu bapa saya. Mereka memberikan kami sokongan penuh. Ayah kami adalah mentor kami.

RMM: Mengapakah kamu memfokus kepada snek dari Jepun, Korea dan Thailand?
KS: Kami peminat drama Korea! Kami tahu mengenai trend dan gaya K-pop yang sangat popular. Jadi, kami mencuba pasaran ini dan ia ternyata mendapat sambutan yang baik. HS: Tambahan pula, sudah ada kedai 7-eleven dan banyak kedai runcit di kawasan ini. Kami ingin menjual sesuatu yang berbeza.

RMM: Adakah anda menjual secara dalam talian sejak awal lagi?
KS: Tidak. Kami bermula dengan kedai runcit dahulu. Operasi dan jualan kedai ini agak mencabar dalam masa enam bulan pertama.
HS: Kemudian, saya terbaca tentang Jack Ma dan mendapat inspirasi daripada kejayaan perniagaan dalam talian beliau. Selepas itu, kami memutuskan untuk mencuba jalan tersebut. Dengan bantuan bapa, saya sering pergi ke Shah Alam untuk menghadiri latihan dalam talian. Kami mempraktikkan apa yang dipelajari dan inilah hasilnya!
KS: Saya menguruskan kebanyakan pelanggan runcit manakala adik saya menguruskan jualan dalam talian dan kerja-kerja bahagian belakang (back-end).

RMM: Apakah antara cabaran awal yang anda hadapi?
HS/KS: Tempoh luput makanan dan minuman agak singkat dan bukan semua produk boleh dijual dengan cepat. Kami perlu menguji dan mencuba pelbagai jenis produk. Selain daripada itu, kebanyakan pembekal inginkan bayaran tunai sebelum menghantar stok.

RMM:Bagaimanakah anda mempromosikan kedai anda?
HS: Kami mempromosikan kedai kami melalui Facebook, Instagram dan saranan orang ramai. Kami juga mengiklankan di Facebook dan platform pembelian dalam talian yang lain. Kami juga sering membuat video ‘live’ di Facebook.

RMM: Apakah peratusan jualan yang datang dari dalam talian berbanding pelanggan runcit?
KS/HS: Setakat ini 50:50 tetapi kami percaya perniagaan dalam talian kami akan terus berkembang. Dengan perniagaan dalam talian, kami boleh mendapat pelanggan dari luar Segamat. Kami juga menjual secara borong tetapi kebanyakannya kepada SME di sekitar Segamat.

RMM: Apakah nasihat anda kepada peruncit yang ingin menjual dalam talian?
HS: Sebelum memulakannya, belajarlah sebanyak mungkin tentang dalam talian. Anda perlu bersikap terbuka dan mencuba semua cara tanpa mudah menyesal.
KS: Belajar dari kesilapan. Dan jangan takut!