Rencana

Peniaga Runcit Kekal Relevan Dan Bertahan

Dalam mencapai kejayaan mentransformasi majalah kami, kami telah menemu bual Encik Hong Chee Meng, Presiden Kebangsaan Persekutuan Persatuan Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia dan Presiden Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Segamat mengenai pendapat beliau tentang transformasi, persaingan dan masa depan peniaga-peniaga runcit, terutamanya dalam era digital kini.

RMM: Pada pendapat anda, apakah yang patut dilakukan oleh peniaga-peniaga runcit untuk kekal berdaya saing?

Encik Hong: Pada tahun 1960-an, kami berhadapan dengan persaingan sengit daripada emporium-emporium. Kedai runcit kecil bimbang perniagaan mereka akan hilang. Jadi mereka memulakan peniagaan pasar mini untuk kekal bersaing. Apabila pasar raya besar seperti Makro memasuki pasaran pada tahun 1990-an, pemborong-pemborong tunai-dan-bawa mula muncul. Kemudian, pada sekitar tahun 2000, kami melaksanakan program TUKAR untuk membantu kedai-kedai runcit kecil bertukar menjadi pasar mini yang lebih teratur dan tersusun dengan pengurusan inventori yang baik. Program ini merupakan satu kejayaan bagi banyak pernigaaan. Apabila e-dagang diperkenalkan, kami menasihatkan kedai-kedai runcit untuk memberi tumpuan kepada khidmat pelanggan supaya dapat kekal bersaing. Mereka harus melihat pada setiap titik sentuhan dengan pelanggan. Mereka boleh mengukuhkan hubungan pelanggan dengan cara menjadi pendengar yang aktif, mencari persamaan masing-masing dan membina hubungan yang baik. Sebagai contoh, sekiranya anda hanya mempunyai RM50 untuk membayar barangan yang berjumlah RM50.20, pasar raya akan meminta anda memulangkan barangan tersebut manakala di pasar mini/kedai runcit, peniaga akan menerima bayaran RM50 malahan akan membantu membawa barangan anda ke kereta.

RMM: Adakah berniaga atas talian relevan kepada peniaga-peniaga runcit?

Encik Hong: Peniaga-peniaga runcit tidak mempunyai pengaruh yang kuat di atas talian kerana kadar keuntungan mereka adalah rendah. Sekiranya mereka menjual teh, beras, minyak masak dan sebagainya, keuntungan mereka tidak mencukupi untuk menampung kos penghantaran. Walaupun begitu, jika mereka menjual barangan yang diimport seperti produk-produk dari Jepun dan Korea, maka mereka boleh menjualnya di atas talian kerana kadar keuntungannya lebih tinggi. Oleh itu, pembelian di atas talian tidak akan memberi kekurangan kepada kami.

RMM: Apa pendapat anda tentang “Runcit Hero”, portal yang akan datang untuk peniaga runcit membeli stok atas talian? Bagaimanakah ia akan memanfaatkan peruncit-peruncit?

Encik Hong: Sekiranya Runcit Hero mempunyai saingan harga, maka ia akan memberikan pilihan baru kepada peruncit untuk mendapatkan stok mereka. Sekiranya ahli-ahlinya – yang terdiri daripada peniaga-peniaga runcit mahupun pemborong – boleh mendapat ganjaran dan faedah melalui pembelian yang lebih banyak, maka ia boleh mendorong kepada trend perniagaan yang berpotensi pada masa hadapan. Runcit Hero boleh memberikan peniaga-peniaga runcit saluran alternatif untuk membuat pembelian.

RMM: Bagaimanakah peruncit boleh membina jenamanya?

Encik Hong: Sekiranya anda merupakan seorang peniaga runcit, ianya penting untuk memberikan khidmat pelanggan yang terbaik. Sekiranya anda seorang pemborong, anda mestilah membina jenama anda sendiri untuk kekal lebih lama dalam bidang perniagaan. Saya ingin berkongsi dengan anda pengalaman peribadi saya. Sebelum ini saya merupakan pemilik sebuah kedai runcit yang kecil. Pada tahun 2000, saya mula bekerja sebagai pemborong dan menjual 100 Plus dengan memandu sebuah van. Pada tahun 2004, pulangan kami adalah RM7-8 juta. Walau bagaimanapun, saya perhatikan bahawa tidak kira bertapa besar perniagaan kami, kami tidak mempunyai jenama sendiri. Kami merupakan pengedar untuk serbuk susu, tisu dan pad sanitari. Tetapi semua ini hanyalah pengedaran, walaupun jenama-jenamanya adalah terkenal. Maka, pada tahun 2004, saya memutuskan untuk mencipta jenama saya sendiri. Kami melancarkannya pada tahun 2006 dan pada tahun 2011 kami merupakan jenama pertama di Malaysia. Sekiranya saya tidak menubuhkan jenama saya sendiri, saya akan masih menjadi pemborong pada hari ini. Pada tahun 2014, mencuba kategori yang berbeza dan mencipta jenama yang lain. Sejak tahun 2009, saya tidak lagi menjalankan perniagaan borong. Sebaik sahaja anda menubuhkan jenama anda sendiri, anda boleh mempunyai perniagaan secara berterusan.

RMM: Apakah nasihat terakhir anda untuk peruncit kami?

Encik Hong: Masa depan industri runcit di Malaysia masih sangat menjanjikan. Ia tidak akan berhenti dalam masa terdekat. Rangkaian pasar raya utama yang disusun semula sekali setiap 10 tahun telah tidak mempunyai perniagaan, contohnya, Carrefour dan Makro. Pemilik kedai runcit dan pasar mini tidak memerlukan kemahiran tertentu untuk menjalankan perniagaan mereka (tidak seperti menjalankan kafe yang memerlukan anda untuk tahu bagaimana untuk membuat kopi). Apa yang anda perlukan ialah memberikan khidmat pelanggan yang luar biasa untuk terus bertahan. Saya berharap kesemua pemilik kedai runcit dan pasar mini di Malaysia tidak akan berputus asa dalam industri ini dan sentiasa merebut peluang perniagaan. Saya ingin berkongsi metafora untuk menjelaskan industri ini: “Setiap dinosaur akan mati tetapi tidak setiap lipas. Sekiranya dinosaur tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan, ia akan mati. Walau bagaimanapun, jika lipas tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan, ia akan terus mencari sumber makanan, sebab itulah jangka hayatnya lebih panjang.” Kedai-kedai runcit dan pasar mini adalah survival yang paling kuat!

Persekutuan Persatuan Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia adalah persekutuan yang terdiri daripada 23 ahli persatuan serantau di Malaysia (contohnya, Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Segamat). Ahli-ahlinya terdiri daripada peruncit, pengedar dan pemborong. Persatuan ini bertujuan untuk menyatukan semua ahli, meningkatkan perpaduan, mempromosikan persahabatan, mencari kebajikan sosial, dan mewujudkan hubungan dengan kumpulan undang-undang pelbagai bangsa untuk mempromosikan muhibah dan persahabatan dalam industri. Setiap persatuan serantau akan menyelia ahli-ahli di kawasannya. Sekiranya terdapat isu-isu yang perlu diselesaikan, persatuan serantau akan membawanya ke perhatian persatuan persekutuan.