Etika Memacu Pertumbuhan Dalam Industri Tenusu Tempatan Di Malaysia

May 2, 2019 | Berita

 

 

  • Pelaburan sebanyak RM 100 juta ke atas fasiliti penternakan lembu dan penyimpanan susu di peringkat tempatan
  • Barisan produksi baharu dirasmikan oleh YB Dato’ Salahuddin bin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
  • Bekerja bersama kementerian tempatan untuk menjana nilai eksport yang lebih tinggi dan mempromosikan pelaburan langsung asing (FDI)

Kuala Lumpur, 9 April 2019 – Etika Holdings (“Etika”), salah sebuah syarikat minuman Halal yang terkemuka di Malaysia, telah mengumumkan inisiatifnya untuk terus mendukung industri tenusu tempatan hari ini. Pengumuman ini dibuat ketika syarikat tersebut menghoskan tetamu istimewanya, YB Dato’ Salahuddin bin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, di kilang pemprosesan susu segar komersial syarikat ini yang terletak di Meru, Klang.

YB Dato’ Salahuddin diundang oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etika Holdings – Malaysia, Singapura dan Brunei, Khalid Alvi, di mana beliau diberi peluang untuk melihat sendiri operasi tenusu dan rantai bekalan yang diuruskan secara harian oleh Etika untuk Susu Goodday. Sewaktu lawatan tersebut, Etika juga membincangkan pelan dan inisiatifnya untuk memperkukuhkan industri tenusu di Malaysia.

“Susu serta produk tenusu lain merupakan komponen yang penting untuk diet seimbang dan kami ingin menggalakkan orang ramai untuk menggunakan produk tenusu dalam rutin pemakanan seharian mereka. Perkembangan dan pelestarian industri tenusu tempatan akan memastikan rakyat Malaysia mendapat bekalan susu berkualiti tinggi, serta dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Pihak kerajaan percaya bahawa sektor pertanian, dan dalam hal ini, pertanian tenusu, akan membantu mengembangkan ekonomi Malaysia. Atas dasar ini, kami berbesar hati untuk menyokong Etika dalam usaha mereka untuk terus merangsang pelaburan ke dalam industri tenusu tempatan kita,” ujar YB Dato’ Salahuddin.

Untuk membantu penternak lembu dan industri tenusu tempatan, Etika akan menyelia aktiviti pemprosesan komersial susu segar (Susu Goodday) dengan FDI berjumlah lebih daripada RM 100 juta untuk memacu industri tenusu Malaysia. Syarikat ini juga telah menjalinkan usaha sama dengan Koperasi Penternak Lembu Tenusu Negeri Johor Bhd (KPLTNJB) sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya untuk memberikan insentif tambahan kepada penternak lembu tempatan.

Ini termasuk dengan menyediakan pembekalan ‘Tangki Penyejukan Susu’ yang boleh memuatkan kuantiti susu dengan kapasiti yang lebih besar, lantas membantu para penternak meningkatkan jumlah ternakan dan produksi susu. Di samping itu, Etika juga akan menandatangani kontrak MOU dengan Saujana Feedmill & Agro Tech Sdn Bhd, Indahraya International Ventures Sdn Bhd, DDS Daily Fresh Milk serta MADAC Sdn Bhd. MOU ini akan membolehkan para penternak dan usahawan tani tempatan di Meru, Klang membekalkan susu segar kepada Etika.

Untuk menyebarkan mesej kebaikan ini, Etika juga akan bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) untuk menyumbangkan peket-peket susu segar kepada para pelajar sekolah di Johor. Sebuah inisiatif ‘Program Susu Sekolah Goodday’, ikhtiar ini sedang diterapkan oleh Etika untuk mendidik pelajar tentang kepentingan susu dan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak Malaysia.

Dengan lebih daripada 1,700 bilangan kakitangan yang berdedikasi serta 40,000 rakan kongsi runcit di seluruh negara, Etika telah berperanan sebagai penyumbang utama kepada industri tenusu Malaysia sejak lebih dari lima dekad dengan Susu Goodday. “Petani dan penternak lembu tempatan kita adalah tulang belakang yang akan membentuk sektor pertanian pada masa hadapan. Entiti perniagaan seperti kami ini bersama pihak kerajaan, harus memberi mereka bantuan yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti dan keefisienan serta mengembangkan perniagaan eksport tenusu tempatan. Kami berasa sangat gembira untuk menerima kunjungan YB Dato’ Salahuddin pada hari ini dan atas sokongan beliau untuk mempromosikan industri tenusu Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar Khalid Alvi, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Holdings – Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menurut laporan yang diterbitkan berkenaan sektor pertanian Malaysia, produksi susu cecair di peringkat tempatan hanya meliputi lima peratus daripada keperluan domestik.[1] Dengan kemajuan landskap industrialisasi dan pendidikan, Malaysia sedang melihat perkembangan permintaan bagi produk tenusu dalam kalangan populasi yang cakna akan kesihatan mereka.[2] Kenyataan ini mendorong pihak kerajaan dan koperasi susu tempatan untuk mengambil langkah yang dapat meningkatkan tahap kelestarian industri tenusu.

Inisiatif yang dirumus oleh Etika ini dapat dimanfaatkan secara langsung oleh penternak lembu dan perniagaan yang berkaitan dengan membantu memajukan aktiviti ekonomi mereka, yang secara amnya akan menjurus kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga sejajar dengan rancangan kerajaan untuk menjamin sekuriti makanan, membangunkan ekonomi luar bandar dan menggalakkan pelaburan domestik serta perdagangan antarabangsa.

Beliau juga menyatakan bahawa inisiatif seperti ini akan menarik pelaburan swasta serta antarabangsa dalam jangka masa yang panjang dengan prospek untuk membangunkan perniagaan eksport yang kukuh bagi produk-produk tenusu buatan tempatan, lantas membawa kepada pertumbuhan ekonomi bagi industri pertanian, penternakan dan tenusu.

Etika yakin bahawa dengan bantuan kerajaan, industri tenusu tempatan akan berkembang dan membantu memangkin ekonomi Malaysia untuk tahun-tahun yang akan datang.

[1] https://www.export.gov/article?id=Malaysia-Agricultural-Sector
[2] https://ageconsearch.umn.edu/record/124243/files/2012AC%20Boniface%20CP.pdf